BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Hasrat sertai Himpunan RXZ tidak kesampaian, eksekutif jualan maut dalam kemalangan

BERA – Hasrat seorang eksekutif jualan untuk menyertai Himpunan RXZ di Kuala Terengganu berakhir dengan tragedi apabila beliau maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Jalan Palong 8, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Syukri Shahrudin, 33, dari Taman Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala serta tangan.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Rembau menuju ke Terengganu.

Gambar kenangan Allahyarham Mohd Syukri bersama isteri dan dua orang anaknya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga, namun terus bergerak lurus sebelum melanggar tebing bahu jalan.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan keadaan jalan di lokasi adalah lurus dengan laluan dua hala, berturap baik, permukaan rata, kering serta pencahayaan jelas pada waktu siang.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ 7.0 2025 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak bersama konvoi kira-kira 60 motosikal lain.

Allahyarham antara peserta terawal yang berada di hadapan kumpulan itu.

“Tiada saman trafik direkodkan terhadap mangsa, manakala motosikal terbabit akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian, sebelum dibawa pulang oleh Unit Amal Team Rembau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button