Ibu muda maut, anak dan adik parah dalam kemalangan di Ayer Molek
MELAKA – Kegembiraan tiga beranak dalam perjalanan pulang ke rumah bertukar tragedi apabila motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Kandang–Ayer Molek, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.20 pagi itu, penunggang motosikal, Nurul Anisha Durahman, 24, yang juga pekerja restoran maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Anaknya, Muhammad Aqil Auni Mohd Yusnaidi, 5, dan adik perempuannya, Nurul Farah Natasha, 21, yang membonceng motosikal berkenaan, mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di kepala dan patah kaki.
Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y15 ZR yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Kandang menuju ke Duyong.
“Sebaik tiba berhampiran sebuah kedai makan, sebuah SUV Toyota Corolla Cross dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dari arah Selandar dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan motosikal mangsa.
“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan petugas perubatan, manakala dua pembonceng parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Christopher, pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan untuk siasatan lanjut termasuk diambil sampel darah bagi ujian toksikologi.
“Hasil saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah. Kedua-dua kenderaan turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru mana-mana saksi bebas yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan bagi melengkapkan kes yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















