JENAYAH & MAHKAMAH

Pelayan restoran, penganggur dan warga emas maut dalam tiga nahas berasingan di Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki iaitu pelayan restoran, penganggur dan warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam tiga kemalangan berasingan di sekitar bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketiga-tiga nahas itu berlaku pada waktu berbeza iaitu seawal pukul 4.40 pagi hingga 1.56 petang membabitkan beberapa lokasi utama di bandar tersebut.

Menurutnya, kemalangan pertama berlaku di Kilometer 7.9, Lebuhraya Pasir Gudang melibatkan seorang pemuda berusia 29 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Siasatan mendapati mangsa sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Iskandar Puteri sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di tengah jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Raub berkata, kemalangan kedua pula berlaku pada pukul 5.50 pagi di Persimpangan Jalan Rahmat ke Jalan Utama, Kampung Melayu Majidee, membabitkan pelanggaran antara sebuah motosikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama seorang pembonceng dengan sebuah van yang dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun.

“Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan sedang bergerak lurus sebelum dilanggar van yang memasuki simpang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pembonceng mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Raub berkata, kemalangan ketiga berlaku pada 1.56 petang di Simpang Jalan Desa Mutiara 6, Jalan Persiaran Desa Mutiara, melibatkan seorang warga emas berusia 76 tahun.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Zohor.

“Motosikal mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang sedang bergerak dan sebuah lagi MPV jenis Perodua Alza yang diparkir di bahu kiri jalan,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tujuan bedah siasat.

Menurut Raub, ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau pegawai penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff di talian 017-591 9208 atau Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli di talian 017-306 4779.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button