JENAYAH & MAHKAMAH

Isteri maut, anggota polis parah dalam nahas motosikal di Seremban

SEREMBAN – Perjalanan sepasang suami isteri bertukar tragedi apabila wanita itu maut manakala suaminya yang merupakan anggota polis cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Rasah, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, mangsa wanita itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan sebuah kereta Proton Persona.

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta berusia 38 tahun berkenaan bersama isterinya dalam perjalanan dari Jalan Rasah menghala ke Sikamat.

“Ketika kejadian, pemandu berada di lorong kanan dan dipercayai mengubah haluan ke lorong kiri untuk membelok masuk ke simpang sebelah kiri,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau menjelaskan, tindakan itu menyebabkan penunggang motosikal bersama pembonceng dari arah belakang gagal mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kiri kenderaan berkenaan.

“Akibat kemalangan ini, pembonceng motosikal seorang wanita berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) sebaik tiba.

“Manakala penunggang motosikal lelaki berumur 38 tahun yang mengalami kecederaan parah turut dibawa ke HTJ untuk rawatan lanjut,” katanya.

Azahar berkata, penunggang motosikal itu merupakan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, manakala pembonceng ialah isterinya.

Beliau memaklumkan, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor G Sankar di talian 014-6000353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button