JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja 15 tahun maut tercampak dalam parit selepas motosikal langgar van di Tasek Gelugor

TASEK GELUGOR – Seorang remaja berusia 15 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah van di Kampung Pokok Jenerih dalam satu kemalangan di sini, petang tadi.

Mangsa, Mohammad Haziq Roslan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke dalam parit berhampiran akibat impak kuat perlanggaran yang berlaku sekitar pukul 5 petang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.09 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor bergegas ke lokasi.

“Insiden melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace dan mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha Y16. Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati penunggang motosikal telah tercampak ke dalam parit.

“Mangsa berjaya diangkat daripada parit namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pemandu van selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada pukul 6.26 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button