LUAR NEGARA

Israel putus hubungan dengan Setiausaha Agung PBB

AMERIKA SYARIKAT – Hubungan antara Israel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus memuncak apabila negara itu memutuskan untuk menghentikan semua hubungan dengan Setiausaha Agung badan dunia berkenaan, Antonio Guterres.

Menurut Duta Israel ke PBB, Danny Danon tindakan itu diambil susulan dakwaan Israel disenaraihitamkan berhubung tuduhan keganasan seksual di zon konflik.

“Tindakan berkenaan adalah sesuatu yang melampau dan tidak boleh diterima. Kami sudah selesai dengan Setiausaha Agung ini,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di platform X.

Menurut beliau, keputusan untuk menyenaraihitamkan Israel dan menuduh negara itu menggunakan keganasan seksual sebagai senjata perang merupakan satu tindakan keterlaluan.

Katanya, laporan yang bakal diterbitkan oleh pejabat Guterres itu juga disifatkan sebagai terus menyebarkan pembohongan terhadap Israel.

“Setiausaha Agung dan pasukannya terus menyebarkan pembohongan terhadap Israel. Meletakkan kami dan Hamas dalam senarai yang sama, itu tidak boleh diterima,” katanya.

Wakil rasmi Israel di PBB menerusi satu kenyataan turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak lagi akan berhubung dengan pejabat Setiausaha Agung selagi Guterres memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Guterres, Stéphane Dujarric berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan dikeluarkan Israel berhubung perkara berkenaan.

“Bagi pihak kami, pintu Setiausaha Agung sentiasa terbuka,” katanya.

Laporan tahunan PBB mengenai keganasan seksual berkaitan konflik lazimnya akan dikemukakan kepada negara berkaitan sebelum diterbitkan secara rasmi.

Pada Ogos tahun lalu, laporan itu memberi amaran bahawa Israel berkemungkinan dimasukkan dalam senarai pihak yang disyaki atau bertanggungjawab terhadap keganasan seksual dalam situasi konflik bersenjata.

Ketika itu, PBB memetik “maklumat yang boleh dipercayai” berhubung dakwaan keganasan seksual oleh pasukan keselamatan Israel terhadap tahanan Palestin di penjara dan pusat tahanan, selain mendakwa pemeriksa PBB tidak dibenarkan memasuki fasiliti berkenaan.

“Kami menjemput wakil PBB untuk datang ke Israel bagi menyemak dakwaan tidak masuk akal itu. Mereka memilih untuk tidak datang,” kata Danon.

Hubungan antara PBB dan Israel dilaporkan semakin tegang sejak 7 Oktober 2023 selepas Hamas melancarkan serangan besar-besaran yang mencetuskan perang di Gaza Strip.

Sebelum ini, pihak berkuasa Israel turut mengkritik Guterres dan pegawai PBB lain susulan kecaman terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza, malah beliau pernah diisytiharkan sebagai “persona non grata” di Israel pada tahun 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button