LUAR NEGARA

Rusia, China guna veto dalam usul buka semula Selat Hormuz

NEW YORK – Russia dan China menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pembukaan semula Selat Hormuz, sekali gus menggagalkan usaha negara Teluk untuk memastikan laluan perkapalan utama itu kembali beroperasi.

Draf resolusi yang dikemukakan Bahrain dan disokong Amerika Syarikat (AS) itu menerima 11 undi menyokong, dua menentang serta dua berkecuali.

Menteri Luar Bahrain, Abdullatif bin Rashid Al Zayani berkata, negara-negara Teluk kesal dengan keputusan tersebut (veto) yang disifatkan menghantar isyarat tidak tepat kepada dunia.

Menurutnya, kegagalan resolusi itu menunjukkan ancaman terhadap laluan perairan antarabangsa boleh berlaku tanpa tindakan tegas badan global yang bertanggungjawab menjaga keamanan.

Iran sebelum ini mengenakan sekatan ke atas Selat Hormuz sejak konflik dengan AS dan Israel pada 28 Februari lalu, sekali gus menjejaskan aliran perdagangan minyak dunia.

Undian itu berlangsung beberapa jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Presiden AS, Donald Trump agar Tehran membuka laluan tersebut atau berdepan kemusnahan besar.

Duta AS ke PBB, Mike Waltz menegaskan keputusan itu tidak menghalang AS untuk bertindak mempertahankan diri serta sekutunya.

Sementara itu, wakil Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani menyifatkan resolusi berkenaan sebagai usaha menghukum pihak yang mempertahankan kedaulatan negara.

Menurutnya, jika diluluskan, resolusi itu berpotensi membuka ruang kepada tafsiran meluas bagi menghalalkan penggunaan kekerasan yang melanggar Piagam PBB.

Rusia melalui dutanya, Vassili Nebenzia pula menegaskan draf berkenaan mengandungi unsur tidak seimbang dan berkonfrontasi.

Sebagai alternatif, Rusia dan China dijangka mengemukakan draf baharu yang menggesa semua pihak menghentikan serangan terhadap orang awam serta infrastruktur awam, tanpa memfokuskan kepada Iran semata-mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button