Isu Greenland: Trump dakwa AS peroleh akses penuh, Denmark dan NATO kekal pertahan kedaulatan
DAVOS/NUUK – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa Amerika Syarikat telah memperoleh akses penuh dan kekal ke atas Greenland melalui satu rangka perjanjian bersama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Bagaimanapun, dakwaan itu mencetuskan reaksi berhati-hati daripada Denmark dan kerajaan Greenland yang menegaskan kedaulatan pulau berkenaan tidak boleh dirunding atau dipertikaikan.
Trump membuat kenyataan itu selepas menarik balik ancaman tarif terhadap Eropah serta menolak sebarang tindakan ketenteraan untuk mengambil alih Greenland, sekali gus meredakan ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat dan sekutu Eropah.
Susulan perubahan pendirian itu, pasaran saham Eropah dan Amerika Syarikat menunjukkan pemulihan, namun pemimpin Eropah mengakui keyakinan terhadap hubungan transatlantik telah terjejas.
Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen berkata, beliau masih belum dimaklumkan secara jelas mengenai kandungan perjanjian yang didakwa oleh Trump.
“Kami bersedia berbincang dan berunding untuk memperkukuh kerjasama, tetapi kedaulatan adalah garis merah yang tidak boleh dilanggar,” katanya memetik laporan Reuters.
Beliau menegaskan integriti wilayah Greenland dan undang-undang antarabangsa mesti dihormati, susulan laporan bahawa Amerika Syarikat mahu meningkatkan kawalan di kawasan sekitar pangkalan tenteranya di pulau itu.
Trump pula berkata, satu perjanjian baharu sedang dirunding dan akan lebih menguntungkan Amerika Syarikat, sambil menegaskan Washington perlu mempunyai kebebasan bertindak di Greenland.
Sumber memaklumkan, Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte dan Trump bersetuju untuk mengadakan rundingan lanjut antara Amerika Syarikat, Denmark dan Greenland bagi mengemas kini perjanjian lama tahun 1951 berkaitan kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat di pulau tersebut.
Perbincangan itu turut melibatkan usaha menghalang pelaburan China dan Rusia di Greenland atas faktor keselamatan.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen menegaskan tiada sebarang rundingan mengenai kedaulatan Greenland, namun mengakui wujud keperluan untuk memperkukuh keselamatan bersama di rantau Artik.
Beliau turut mencadangkan kehadiran tetap NATO di kawasan itu bagi menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara Eropah menggesa NATO mempercepat pelan keselamatan Artik, manakala penduduk Greenland menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan pendirian Amerika Syarikat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








