BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump umum sekatan imigresen kepada 21 negara

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menguatkuasakan larangan perjalanan baharu terhadap warga dari 21 negara, termasuk Iran, Afghanistan dan Haiti, berkuat kuasa tengah malam semalam.

Menurut kenyataan Rumah Putih, larangan penuh dikenakan terhadap rakyat dari Afghanistan, Myanmar, Chad, Congo-Brazzaville, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.

“Sementara itu, sekatan separa dikenakan ke atas Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela, di mana hanya visa kerja sementara tertentu dibenarkan.

“Langkah itu dilihat sebagai kesinambungan kepada dasar imigresen kontroversi yang diperkenalkan Trump sejak penggal pertamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Trump memaklumkan tindakan tersebut diambil susulan insiden keganasan yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dalam negeri.

“Serangan komuniti Yahudi di Colorado oleh individu yang tinggal melebihi tempoh visanya membuktikan betapa besarnya ancaman yang kita hadapi apabila kemasukan warga asing tidak ditapis dengan betul.

“Senarai negara berkenaan akan dikaji semula dari semasa ke semasa dan berkemungkinan diperluas mengikut keperluan semasa.

“Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada atlet dari negara-negara terlibat yang menyertai kejohanan sukan antarabangsa seperti Piala Dunia FIFA 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Larangan ini tidak akan melibatkan peserta sukan antarabangsa atau diplomat yang hadir atas urusan rasmi,” jelas beliau.

Tindakan terbaharu itu mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuk komuniti antarabangsa dan kumpulan hak asasi yang mengecam dasar tersebut sebagai bersifat diskriminasi serta meminggirkan negara-negara membangun.

Penganalisis politik berpendapat langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi Trump untuk meraih sokongan pengundi menjelang pilihan raya, khususnya menerusi penekanan terhadap isu keselamatan sempadan dan kawalan imigresen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button