UEC hanya layak diiktiraf jika selari aspirasi nasional – Tok Mat
KUALA LUMPUR – Setiap kelayakan pendidikan di negara ini mesti dibangunkan berlandaskan kepentingan serta aspirasi nasional, bukannya mengikut tuntutan mana-mana pihak
dan prinsip tersebut turut merangkumi isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC)
Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan nasional mesti berpaksikan misi, nilai dan cita-cita kebangsaan serta dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti negara.
Jelasnya, kerajaan tidak pernah menghalang pelaksanaan UEC yang sudah diperkenalkan Dong Zong sejak 1975, malah ia berjalan tanpa sebarang masalah. Namun, isu sebenar bukan pada pelaksanaan, tetapi tuntutan supaya sijil tersebut diiktiraf setaraf kelayakan arus perdana.
“Kerajaan tidak keberatan untuk mengiktiraf UEC sekiranya ia digubal dalam bahasa kebangsaan dan memenuhi aspirasi nasional. Selagi syarat itu tidak dipenuhi, ia tidak boleh disamakan dengan kelayakan nasional,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menempelak DAP dengan menyasarkan kecamannya kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, sambil menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan tuntutan DAP berkait UEC.
Ini susulan kenyataan Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa DAP akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.
Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar menegaskan, usaha memupuk perpaduan bukan suatu tugas mudah dalam masyarakat berbilang kaum.
Justeru, katanya, pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum berasaskan kearifan tempatan adalah satu-satunya jalan untuk membina identiti nasional yang kukuh, tanpa menolak standard antarabangsa.
Mohamad turut mengingatkan supaya pendidikan tidak dijadikan pentas politik kerana sekolah merupakan ruang penyatuan anak-anak berbilang kaum untuk belajar hidup bersama dalam suasana harmoni.
Katanya, mana-mana rakyat yang tidak meyakini misi pendidikan nasional bebas memilih sistem UEC, namun tidak wajar memaksa kerajaan mengiktirafnya kerana ia tidak digubal untuk membentuk identiti pendidikan kebangsaan.
“Untuk tujuan kemasukan ke universiti, itu bukan isu. Banyak institusi dalam dan luar negara menerima UEC,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar selari dengan aspirasi nasional, sijil tersebut akan kekal sebagai kelayakan yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan tidak perlu diberikan pengiktirafan rasmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








