LUAR NEGARA

Enam pangkalan Tentera AS diserang Iran, kerosakan direkod di lima negara

ISTANBUL – Sekurang-kurangnya enam pangkalan Tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat menjadi sasaran serangan Iran sejak Sabtu, menurut analisis media antarabangsa.

Laporan The New York Times yang memetik imej satelit, video disahkan serta kenyataan pegawai tentera AS menyatakan serangan berlaku selepas Washington dan Tel Aviv melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Agensi berita Anadolu melaporkan, jumlah sebenar peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Iran serta kadar pemintasan masih belum dapat dipastikan.

Serangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap keupayaan fasiliti tentera AS untuk menangkis gelombang serangan seterusnya.

Pangkalan Tentera Amerika Syarikat
Peta menunjukkan Pangkalan Tentera Amerika Syarikat di beberapa negara di Asia Barat yang menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron Iran.

Pangkalan di Bahrain, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain tiga lokasi di Kuwait, dilaporkan menjadi sasaran pada hujung minggu.

Beberapa bangunan dilaporkan rosak atau musnah termasuk sistem komunikasi satelit.

Pegawai AS mengesahkan tiga anggota tentera terbunuh dan lima lagi cedera parah dalam serangan di Kem Arifjan, Kuwait, walaupun tiada imej visual insiden berkenaan didedahkan.

Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan di lima lokasi lain.

Antara lokasi terjejas termasuk ibu pejabat tentera laut utama, kem tentera AS, pangkalan udara yang menempatkan tentera Amerika serta zon rekreasi tentera laut. Tahap kerosakan berbeza mengikut lokasi.

Di Bahrain, Iran dilaporkan menyerang ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Manama pada Sabtu.

Video yang disahkan menunjukkan peluru berpandu dan dron mengenai kawasan pangkalan, manakala pelabuhan dilihat tidak menempatkan kapal perang ketika serangan berlaku.

Imej satelit yang dirakam pada Ahad pula menunjukkan dua terminal komunikasi satelit musnah manakala beberapa bangunan besar rosak teruk atau runtuh.

Di Kuwait, imej petang Ahad menunjukkan beberapa bumbung runtuh di Ali Al Salem Air Base susulan serangan sehari sebelumnya.

Di Iraq, rakaman dan gambar yang disahkan menunjukkan Iran berulang kali menyasarkan struktur ketenteraan di Lapangan Terbang Antarabangsa Erbil yang menempatkan tentera AS.

Asap dan api kelihatan menjulang dari kawasan itu, dengan imej satelit menunjukkan sekurang-kurangnya empat struktur rosak atau musnah dan kebakaran berterusan hingga awal Isnin.

Sementara itu, imej satelit di Port of Jebel Ali, Dubai, memperlihatkan asap tebal dari sebuah bangunan dalam zon rekreasi Tentera Laut AS yang berpagar.

Walaupun bukan pangkalan rasmi, pelabuhan itu antara yang paling kerap digunakan oleh tentera laut AS.

Video tular dari Kem Buehring di Kuwait pula menunjukkan sebuah dron terbang rendah di atas struktur kem sebelum meneroka kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi tepat titik hentaman dan tahap kerosakan sebenar masih belum dapat disahkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button