Hanya satu pertiga simpanan peluru berpandu balistik, dron Iran berjaya dimusnahkan
LONDON – Operasi pengeboman Amerika Syarikat (AS) dan rejim Israel hanya berjaya memusnahkan kira-kira satu pertiga daripada simpanan peluru berpandu dan dron Iran selepas sebulan ia dilancarkan.
Laporan The Guardian yang memetik Reuters berkata, laporan itu adalah berdasarkan maklumat daripada lima individu yang arif dengan risikan AS.
Maklumat tersebut nyata bercanggah dengan kenyataan Presiden AS, Donald Trump, Khamis lalu bahawa Tehran hanya mempunyai “simpanan peluru berpandu balistik yang sangat sedikit” serta dakwaan pegawai AS lain bahawa perang itu telah menghapuskan keupayaan peluru berpandu balistik Iran.
Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata adalah mustahil untuk menilai jumlah sebenar stok peluru berpandu Iran kerana sebahagian besarnya disimpan di bawah tanah.
“Saya tidak pasti sama ada kita akan pernah mempunyai angka yang tepat,” kata sumber tersebut.
Laporan perisikan menyebut, kira-kira satu pertiga peluru berpandu Iran telah dimusnahkan, manakala satu pertiga lagi dipercayai rosak atau disembunyikan dalam terowong bawah tanah dan kubu perlindungan.
Penilaian yang sama turut dibuat terhadap simpanan senjata dron negara tersebut.
Program peluru berpandu balistik Iran dilihat sebagai senjata perintang utama bagi menyaingi kekuatan ketenteraan AS dan Israel di rantau berkenaan dan kedua-dua buah negara tersebut berulang kali menyatakan matlamat utama perang kali ini adalah untuk melemahkan keupayaan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








