KEMENTERIAN PERTAHANAN

Kementerian Pertahanan tuntut ganti rugi tambahan isu kegagalan sistem peluru berpandu LCS

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan sedang membuat perkiraan menyeluruh bagi menuntut ganti rugi tambahan susulan kegagalan pembekal sistem peluru berpandu memenuhi kontrak berkaitan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tuntutan itu bukan sahaja melibatkan bayaran yang telah dibuat kerajaan, malah turut mengambil kira kerosakan serta implikasi akibat pelanggaran kontrak berkenaan.

Menurut beliau, kementerian kini mempunyai jawatankuasa khas bagi meneliti proses memulakan tindakan selain membuat pengiraan jumlah sebenar yang wajar dituntut.

“Kita bukan sahaja akan tuntut apa yang telah dibayar, tetapi juga segala kerosakan dan implikasi akibat pelanggaran kontrak ini yang mendatangkan kerugian kepada negara,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata, antara kesan utama yang dihadapi ketika ini ialah kapal LCS yang sedang disiapkan tidak mempunyai sistem peluru berpandu surface-to-surface seperti dirancang.

“Kerajaan kini perlu mencari sistem peluru berpandu baharu bagi menggantikan sistem yang ditempah sejak 2018 selain melibatkan proses latihan semula serta integrasi sistem dengan komponen lain dalam kapal.

“Semua itu akan diambil kira sebagai kerosakan yang lahir daripada pelanggaran kontrak oleh syarikat terbabit,” katanya lagi.

Mohamed Khaled berkata, kontrak berkenaan melibatkan kapal LCS serta kapal KD Lekiu dan KD Jebat dengan nilai keseluruhan melebihi RM600 juta.

Bagaimanapun, kerajaan telah membuat bayaran kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut menubuhkan satu lagi jawatankuasa bagi mencari penyelesaian terbaik untuk mendapatkan sistem pengganti dalam kadar segera.

Menurutnya, proses memperoleh sistem peluru berpandu baharu bukan perkara mudah kerana ia melibatkan spesifikasi teknikal tinggi serta keperluan integrasi dengan pelbagai sistem lain di dalam kapal.

“Ini bukan seperti membeli kereta. Sistem peluru berpandu itu perlu boleh berhubung dan disepadukan dengan sistem komunikasi, elektrik dan pelbagai sistem lain dalam kapal.

“Sebab itu proses pembangunan dan integrasi sistem ini akan mengambil masa, namun kita sedang berusaha mencari penyelesaian yang boleh disegerakan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kerajaan akan membuat pilihan paling tepat dan terbaik demi kepentingan pertahanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button