LUAR NEGARA

Dron sasar Kedutaan AS di Riyadh, kebakaran kecil dilaporkan

RIYADH – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara Arab Saudi menjadi sasaran serangan dron awal pagi Selasa, mencetuskan kebakaran kecil di dalam kawasan kompleks diplomatik berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Arab Saudi, dua dron mengenai kawasan Kedutaan AS di Riyadh, namun hanya menyebabkan ‘kerosakan material kecil’ dan kebakaran terhad yang berjaya dikawal.

Serangan itu berlaku ketika Iran melancarkan tindakan balas di rantau Teluk susulan serangan AS dan Israel ke atas Tehran, memetik laporan Al Jazeera.

Terdapat laporan susulan bahawa lebih banyak dron cuba menyasarkan lokasi sama.

US Embassy X
Status yang dimuat naik Kedutaan AS di Riyadh, Arab Saudi mengenai insiden serangan dron Iran.

Presiden AS, Donald Trump dalam kenyataan kepada media berkata, tindak balas Washington terhadap serangan kedutaan serta kematian empat anggota perkhidmatan AS akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Anda akan mengetahuinya tidak lama lagi,” katanya ringkas.

Agensi berita antarabangsa melaporkan asap hitam kelihatan berkepul di kawasan Diplomatik Riyadh yang menempatkan pelbagai misi asing.

Tiga saksi memberitahu agensi itu bahawa satu letupan kuat kedengaran dan api kelihatan marak di kedutaan, namun Kementerian Pertahanan Arab Saudi menegaskan kebakaran tersebut berskala kecil.

Dua sumber yang mengetahui perkara itu memaklumkan bahawa bangunan kedutaan kosong ketika serangan berlaku dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, sumber tentera Arab Saudi yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa sistem pertahanan udara berjaya memintas empat dron yang menyasarkan kawasan diplomatik Riyadh.

Dalam perkembangan berkaitan, wartawan Al Jazeera, Mike Hanna yang melaporkan dari Washington, DC menyifatkan pendekatan Presiden Trump yang hanya memberi kenyataan ringkas kepada media tertentu sebagai sesuatu yang ‘belum pernah berlaku’ ketika negara itu berdepan konflik besar.

Beliau berkata, sejak konflik tercetus, Trump dilihat menghubungi wartawan secara individu dan menyalurkan maklumat secara terhad, menyebabkan orang ramai menerima maklumat yang sangat minimum mengenai situasi semasa.

Terdahulu, Kedutaan AS mengeluarkan notis ‘shelter in place’ kepada warganya di Riyadh, Jeddah dan Dhahran, menggesa mereka berlindung di lokasi masing-masing serta mengelakkan kawasan kedutaan sehingga notis lanjut dikeluarkan.

“Misi AS di Arab Saudi terus memantau situasi serantau,” menurut kenyataan kedutaan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button