BERITA SEMASA

Wisma Putra atur kerjasama dengan beberapa pihak evakuasi rakyat Malaysia terjejas akibat konflik Asia Barat

PUTRAJAYA – Kementerian Luar (Wisma Putra) sedang bekerjasama dengan beberapa pihak dalam mengusahakan evakuasi rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa buah negara akibat konflik di Asia Barat.

Menurut kementerian berkenaan dalam satu kenyataan, kerjasama sedang diatur itu melibatkan Perwakilan Diplomatik Malaysia, kerajaan di negara terjejas serta syarikat penerbangan.

“Usaha evakuasi ini juga meliputi rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air, berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar.

“Rakyat Malaysia digesa segera mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia terdekat, atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, bagi memudahkan penyelarasan evakuasi tersebut,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara-negara terjejas telah berhubung dengan rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tujuan perancangan kontingensi.

“Rakyat Malaysia di negara-negara terjejas juga digesa sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan tinggi, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam, serta mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kementerian akan memastikan usaha evakuasi ini dilaksanakan dengan sebaiknya dengan kerjasama semua pihak berkaitan demi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.

Wisma Putra dalam kenyataan sama turut menasihatkan warganegara Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara yang terjejas oleh konflik berkenaan.

“Nasihat ini juga terpakai kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah.

“Nasihat perjalanan ini akan terus berkuat kuasa sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak. Sehubungan itu, Kementerian memohon kerjasama dan kefahaman semua pihak, termasuk agensi pelancongan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button