649 rakyat Malaysia masih terkandas di Asia Barat susulan konflik
KUALA LUMPUR – Seramai 649 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di beberapa negara Asia Barat susulan konflik serantau yang semakin memuncak sejak akhir Februari lalu.
Dalam kenyataan semalam, Kementerian Luar Negeri memaklumkan setakat pukul 6 petang, 7 Mac, seramai 24,568 rakyat Malaysia telah mendaftar melalui sistem e-Konsular bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan sekiranya diperlukan.
Menurut Wisma Putra, usaha kini tertumpu kepada membantu rakyat Malaysia yang terkandas agar dapat pulang ke tanah air melalui penerbangan komersial yang masih beroperasi.
“Pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di rantau itu turut mengalihkan fokus operasi kepada penyelarasan pemindahan dan bantuan konsular,” menurut kenyataan berkenaan.
Kerajaan juga telah meluluskan pelan luar jangka bagi membawa pulang rakyat Malaysia sekiranya keadaan keselamatan di rantau tersebut semakin meruncing.
Bagi tujuan itu, penyelarasan perjalanan pulang kini dilakukan menggunakan koridor perjalanan serta penerbangan komersial yang tersedia di Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Oman dan Turkiye.
Menurut kenyataan itu lagi, jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di Oman berkurangan daripada 190 kepada lima orang selepas beberapa penerbangan pulang berjaya diselaraskan.
Di UAE pula, seramai 246 rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai telah pulang ke tanah air, namun masih terdapat 176 individu dalam senarai aktif pejabat perwakilan Malaysia.
Kenyataan itu memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang menghubungi baki rakyat Malaysia bagi membantu urusan tiket alternatif, termasuk melalui penerbangan Air Arabia dan SriLankan Airlines selain membantu menyelesaikan isu penginapan.
Selain itu, penerbangan Emirates EK342 yang berlepas dari Dubai ke Kuala Lumpur pada 6 Mac membawa 222 penumpang Malaysia termasuk pengembara yang terkandas dan jemaah umrah yang transit dari Jeddah.
Emirates turut menyambung semula penjualan tiket bagi laluan Dubai–Kuala Lumpur bermula 7 Mac.
Di Abu Dhabi, seramai 25 rakyat Malaysia masih terkandas manakala lima lagi telah berjaya pulang, sementara tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Bahrain walaupun 105 individu mendaftar untuk pulang secara sukarela.
Sementara itu, di Arab Saudi, seramai 243 rakyat Malaysia yang kebanyakannya jemaah umrah masih berada di negara berkenaan.
Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sedang mempergiat penyelarasan dengan operator pelancongan serta pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan kepulangan mereka.
Penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur masih beroperasi dengan dua penerbangan oleh Malaysia Airlines pada 6 Mac, diikuti penerbangan seterusnya oleh Malaysia Airlines dan AirAsia pada 8 Mac, manakala Batik Air dijadualkan berlepas pada 9 Mac.
Kementerian turut memaklumkan pihaknya mengambil maklum kenyataan terbaharu daripada Iran dan sedang bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara bagi memantau perkembangan semasa di rantau itu.
Rakyat Malaysia yang berada di Asia Barat digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat mereka melalui sistem e-Konsular atau menghubungi pejabat perwakilan diplomatik Malaysia yang terdekat.
Situasi di Asia Barat tegang sejak 28 Februari lalu selepas Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran sebelum Tehran bertindak balas dengan menyerang kepentingan Amerika Syarikat di beberapa negara Teluk.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








