Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan: 700 golongan kurang berkemampuan terima sumbangan RM200
PUTRAJAYA – Seramai 700 penduduk di sini yang kurang berkemampuan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM200 sempena program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, selain wang tunai, pek asas bakul makanan bernilai RM50 seperti beras, minyak, gula dan tepung turut disediakan kepada semua asnaf yang menerima sumbangan itu.
Menurut Zaliha, sebanyak RM1.1 juta diperuntukan bagi program tersebut hasil sumbangan wang zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan jumlah peruntukan di Putrajaya sebanyak RM140,000.
“Jabatan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya menganjurkan Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2024 di sini hari ini bagi mengimarahkan bulan Ramadan.
“Program tersebut merupakan program tahunan Jabatan Wilayah Persekutuan dalam menyantuni golongan yang memerlukan terutamanya orang kelainan upaya (OKU), warg emas, ibu tunggal dan anak-anak yatim.
“Jabatan Wilayah Persekutuan turut menyumbangkan RM100,000 kepada setiap Wilayah Persekutuan bagi penyediaan juadah berbuka puasa dan moreh kepada para asnaf,” katanya ketika berucap di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, sumbangan RM4,000 turut disampaikan pada hari ini kepada Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menambahkan peruntukan penyediaan makanan berbuka puasa jemaah masjid.
“Melalui penganjuran program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan ini, pihak kerajaan dapat menyantuni golongan miskin yang seterusnya dapat meringankan beban golongan ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pemilihan penerima sumbangan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dipilih melalui senarai asnaf yang berdaftar dengan MAIWP, sistem eKasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut kategori asnaf yang yang ditetapkan termasuk fakir, miskin, al-gharimin, al-riqab, fisabillah dan muallaf.
“Perbadanan Putrajaya juga sentiasa komited dalam membantu para asnaf di Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan menyalurkan pelbagai bantuan lain dari semasa ke semasa, antaranya adalah Sentuhan Kasih Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2024, Bantuan Back to School dan Bantuan Kasih Aidilfitri.
“Semoga penyampaian sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan ini sedikit sebanyak dapat menyinari kehidupan penerima di samping mengeratkan ukhuwah, perasaan kasih sayang dan persaudaraan dalam menyatupadukan rakyat untuk hidup dalam kemajmukan Madani yang mengangkat nilai kesederhanaan dan kemanusiaan dengan menyemarakkan amal jariah kepada golongan yang kurang berkemampuan,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







