
Tembakan meriam Hari Pahlawan, warga Putrajaya dinasihatkan tidak panik
PUTRAJAYA – Penduduk sekitar pusat pentadbiran kerajaan di sini diingatkan tidak panik dengan bunyi tembakan meriam dan dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal sempena Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2025 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Khamis ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijadual melepaskan 21 das tembakan meriam pada hari sambutan, manakala dua das tembakan akan dilepaskan ketika sesi raptai penuh yang dijadualkan esok di lokasi sama.
“Penduduk dinasihatkan agar tidak panik sekiranya terdengar bunyi letupan meriam.
“Kesesakan lalu lintas dijangka berlaku antara pukul 7 hingga 10 pagi dan orang ramai diminta mematuhi arahan serta isyarat yang diberikan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, beberapa laluan utama akan terlibat sepanjang acara berlangsung termasuk Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Lebuh Perdana Timur dan jalan-jalan sekitar Kompleks E.
“Pengguna jalan raya disaran merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesulitan serta memastikan kelancaran istiadat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








