Isu Kampung Sungai Baru: Dr Zaliha mahu Annuar Musa kemuka bukti
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa meminta Tan Sri Annuar Musa mengemukakan bukti beliau berbohong dan memanipulasi fakta mengenai isu Kampung Sungai Baru di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Dr. Zaliha berkata, kesemua fakta yang beliau bentangkan ketika sesi penerangan 9 Oktober lalu adalah bersandarkan dokumen rasmi kerajaan yang direkodkan.
Justeru, Dr. Zaliha meminta Annuar mengemukakan bukti beliau memesongkan fakta kerana integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan yang tidak bersandarkan asas.
“Saya terpanggil menjawab tuduhan Annuar yang mendakwa konon saya telah berbohong kepada Parlimen, melakukan fitnah dan memesongkan fakta dalam Sesi Penerangan Menteri, 9 Oktober lepas.
“Tuduhan yang dilemparkan adalah satu fitnah yang serius yang mencalar reputasi saya sebagai seorang menteri, malah adalah percubaan merendahkan integriti Parlimen itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, Dr. Zaliha memaklumkan Dewan Rakyat bahawa keputusan berkaitan kelulusan pewartaan membabitkan Kampung Sungai Baru mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) pada 2021 dibuat dalam tempoh tiga hari.
Beliau dipetik sebagai berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas permohonan mengambil alih tanah berkenaan termasuk kediaman flat dan lot teres, dikemukakan pemaju kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)
Justeru, katanya, kewajaran kelulusan secara tergesa-gesa yang menyebabkan semua tanah terbabit menjadi hak milik pemaju perlu diajukan kepada Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.
Susulan pendedahan demikian, Annuar dalam kenyataan media menyifatkan kenyataan tersebut sebagai ‘misleading’ dan memberi notis kepada Dr. Zaliha untuk menjelaskan dan mengulangi tuduhan itu secara bersemuka dengannya di luar Parlimen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








