BERITA SEMASA

KKM perluas suntikan vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak mulai esok

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak berusia empat dan lima tahun bermula esok hingga 31 Mei tahun depan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pemberian vaksin pneumokokal diberikan untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

“Antara penyakit yang disebabkan bakteria ini adalah radang paru-paru (pneumonia), radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang selaput mata dan sarah tunjang serta jangkitan dalam bakteria dalam darah,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Tingkatkan Liputan, Kurangkan Keciciran’ di sini hari ini.

Tambahnya lagi, pemberian vaksin menerusi inisiatif imunisasi catch-up pneumokokal (CHUP) bagi mengoptimumkan perlindungan terhadap penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019.

“Berdasarkan data KKM, kadar discaj akibat penyakit pneumokokal invasif di hospital KKM adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

“Bagi pemberian vaksin itu, ibu bapa boleh bawa anak-anak ke mana-mana fasiliti kita secara ‘walk in’.

“Selain itu, ada juga janji temu melalui MySejahtera. Jadi mereka (ibu bapa) boleh pergi ke aplikasi MySejahtera untuk buat tempahan bagi mendapatkan vaskin di semua fasiliti kesihatan,” katanya

Mengulas lanjut,Dr Zaliha berkata, KKM menyasarkan seramai 700,000 daripada sejuta kanak-kanak yang berusia empat dan lima tahun untuk menerima suntikan vaksin pneumokokal menerusi inisiatif itu.

“Walaupun disasarkan 700,000 tetapi kementerian mengharapkan sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus daripada sasaran itu,” katanya.

Katanya, program imunisasi yang dijalankan di peringkat global menunjukkan penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun di seluruh dunia.

“Penurunan membabitkan 150 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1950-an kepada 38 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2021.

“Bagi negara ini, penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun daripada 158 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 1950 kepada 7.4 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2021.

“Pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi di peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button