Tiada kawasan berisiko lubang benam di ibu negara, DBKL jalankan kajian geoteknikal
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan ibu negara kini berada dalam keadaan selamat daripada risiko lubang benam, selepas kajian geoteknikal awal dijalankan di kawasan pusat bandar.
Kajian itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan struktur tanah menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kajian tersebut memfokuskan jalan-jalan utama di segi tiga emas Kuala Lumpur dengan tujuan mengenal pasti profil dan kestabilan tanah terutamanya di kawasan ‘central business district’ serta radius penganjuran sidang kemuncak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Pemantauan setakat ini mendapati tiada kawasan berisiko terhadap lubang benam.
“Dapatan ini penting bagi memastikan keselamatan delegasi ASEAN, khususnya daripada ancaman bencana infrastruktur seperti lubang benam,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dr. Zaliha berkata, kajian ini dijalankan susulan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada 23 Ogos tahun lalu, bagi memastikan keselamatan struktur dan utiliti bawah tanah.
Menurut beliau, laporan penuh mengenai insiden itu telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan DBKL bercadang mengeluarkan edisi khas laporan untuk bacaan umum pada akhir tahun ini bagi memberi ketenangan kepada orang awam.
“Ia juga bertujuan menangani kebimbangan bahawa Kuala Lumpur dibina di atas lapisan batu kapur yang rapuh,” tambahnya.
Selain itu, Jawatankuasa Wilayah Persekutuan (JWP) bercadang membentangkan laporan ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.
Dr. Zaliha menjelaskan, jika laporan ini digabungkan dengan kajian insiden lubang benam di bandar lain seperti Sepang dan Georgetown, ia boleh membantu merangka strategi mitigasi yang lebih komprehensif di peringkat nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








