Mohamad Sabu yakin AMANAH capai sasaran menang tujuh kerusi DUN di Melaka
KUALA LINGGI – Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin mampu meraih kemenangan di semua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran itu seiring matlamat Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi 18 daripada 24 kerusi DUN yang ditandingi gabungan berkenaan pada pilihan raya kali ini.
“AMANAH bertanding tujuh kerusi DUN… kita yakin akan memenangi semuanya, insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program kempen PH sempena PRN Melaka di Telok Gong, di sini, malam tadi.
Baca juga : PRN Melaka: Pakatan Harapan tidak ketepikan calon berpengalaman, gabung semua lapisan umur
Turut hadir, calon paling muda PH pada PRN Melaka, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
Terdahulu, PH menyasarkan membolot 18 daripada 24 kerusi DUN yang bakal ditandingi pada PRN Melaka, termasuk mempertahankan lima kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Kerusi berkenaan membabitkan tiga parti komponennya, iaitu 10 calon PKR, manakala DAP dan AMANAH masing-masing tujuh calon.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, PH terus memberi peluang kepada calon muda yang berkelayakan dan berkemampuan untuk diketengahkan sebagai wakil rakyat.
Katanya, gabungan itu tidak kekurangan sokongan golongan muda, malah turut membuka ruang kepada calon daripada pelbagai peringkat umur.
“PH tidak kekurangan sokongan anak-anak muda. Sebab itulah kita tengok anak muda yang difikirkan layak dan berkebolehan, kita ketengahkan mereka kepada awam dan saya sendiri menjadi calon pada usia 27 tahun,” katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, penampilan calon muda bukan bermakna PH meminggirkan golongan veteran, sebaliknya gabungan itu mewakili semua lapisan umur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














