BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPKM fokus empat tumpuan perkukuh keterjaminan makanan 2026

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan empat tumpuan utama sepanjang tahun ini sebagai langkah memperkukuh sektor pertanian serta menjamin bekalan makanan negara kekal stabil dan berdaya tahan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, fokus pertama adalah pengukuhan industri padi dengan sasaran meningkatkan pengeluaran padi dan beras secara mampan.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan bekalan beras negara lebih stabil di samping mengurangkan kebergantungan terhadap import.

“Matlamat kita jelas, pengeluaran domestik mesti dipertingkat supaya keperluan rakyat dapat dipenuhi secara konsisten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, kementerian turut memberi penekanan terhadap pengukuhan industri ruminan melibatkan ternakan lembu dan kerbau.

Beliau menjelaskan, peningkatan pengeluaran tempatan serta kadar sara diri (SSL) menjadi keutamaan bagi memastikan sumber protein rakyat lebih terjamin dan tidak terlalu bergantung kepada bekalan luar negara.

Dalam pada itu, aspek pemantapan ekosistem industri hiliran turut menjadi agenda penting kerajaan.

Katanya, isu pembaziran makanan juga perlu ditangani secara menyeluruh dengan meningkatkan produktiviti melalui pemerkasaan pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil pertanian.

“Setiap hasil pertanian mesti memberi nilai tambah lebih baik kepada pengusaha sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” ujarnya.

Empat tumpuan yang diutamakan KPKM sepanjang 2026. Foto : FB KPKM

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengukuhan infrastruktur pertanian akan dilaksanakan menerusi pendekatan 3M iaitu Membina, Menaik Taraf dan Menyelenggara.

Tambahnya, prasarana yang baik menjadi pemangkin kepada kemajuan subsektor padi, tanaman, ternakan serta perikanan.

Beliau yakin, sekiranya keempat-empat asas tersebut diperkukuh dengan kesungguhan dan kerjasama semua pihak, sektor agromakanan negara akan menjadi lebih berdaya tahan sekali gus menjamin keterjaminan makanan rakyat pada masa depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button