BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kemenangan Zohran Mamdani lambang kebangkitan nurani rakyat Amerika – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York City ke-111 sebagai detik bersejarah yang mencerminkan kebangkitan suara rakyat Amerika terhadap keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Menurut beliau, kejayaan pemimpin muda berusia 34 tahun itu bukan sekadar perubahan kepimpinan di sebuah kota besar dunia, tetapi menandakan keberanian rakyat Amerika untuk menilai semula dasar luar negara mereka yang selama ini dilihat melindungi kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Empat bulan lalu, saya telah menyebut bahawa Zohran Mamdani berpotensi besar menjadi Datuk Bandar New York City.

“Kemenangan ini bukan hasil ramalan politik tetapi kerana tanda-tanda perubahan itu sudah jelas di depan mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, gelombang kesedaran rakyat terhadap isu kezaliman semakin meningkat apabila ratusan ribu rakyat termasuk pelajar universiti, ahli akademik dan masyarakat sivil di Amerika Syarikat (AS) tampil ke jalan raya menuntut keadilan terhadap rakyat Palestin.

Beliau turut mengaitkan kebangkitan itu dengan seruan Ayatollah Ali Khamenei yang suatu ketika dahulu menggesa pelajar di Amerika dan Eropah bangkit menentang sistem penindasan global.

“Hari ini, semangat itu seakan hidup kembali dalam sosok anak muda bernama Zohran Mamdani iaitu seorang Muslim yang berjiwa kemanusiaan dan berani bersuara menegakkan keadilan walau di tengah arus politik yang mencabar,” katanya.

Kenyataan media Mohamad Sabu

Menurut Mohamad, kemenangan Zohran membawa mesej yang jelas kepada dunia bahawa politik kebencian, penindasan dan dwi-standard yang diamalkan sebahagian pemimpin dunia, termasuk bekas Presiden AS, Donald Trump, tidak lagi diterima oleh majoriti rakyat.

Beliau berkata, rakyat New York telah memilih keberanian dan integriti apabila memberi mandat kepada seorang pemimpin muda yang lantang menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, meskipun pendirian itu tidak disenangi oleh kumpulan pelobi besar.

“Kita yakin Zohran akan mendapat bimbingan daripada tokoh progresif seperti Senator Bernie Sanders yang berpengalaman menghadapi tekanan pelobi Zionis termasuk Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel-Amerika (AIPAC),” katanya.

Tambah Mohamad, Amanah berharap Zohran akan kekal istiqamah dengan prinsip perjuangannya untuk membela Palestin di pentas antarabangsa.

“Zohran bukan hanya menang dalam pilihan raya tetapi menang di hati manusia yang cintakan keadilan,” katanya lagi.

Menurut beliau, kemenangan itu wajar menjadi inspirasi kepada anak muda di seluruh dunia bahawa politik boleh berubah apabila rakyat berani menyatakan “cukup sudah” terhadap kezaliman.

Calon Parti Demokrat, Zohran Mamdani, mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Datuk Bandar ke-111 New York, menewaskan bekas Gabenor Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa dalam keputusan pilihan raya yang diumum hari ini.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button