PM masih berusaha perbaiki kewangan negara demi kesejahteraan rakyat
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah berhenti daripada usaha memperbaiki kedudukan kewangan negara demi kesejahteraan rakyat.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, apabila kewangan negara semakin pulih, sedikit demi sedikit bantuan akan disalurkan kepada rakyat untuk meringankan beban dalam ketidaktentuan ekonomi global sekarang.
“Perdana Menteri ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana terus memberikan sokongan serta bersabar ketika usaha memperbaiki negara sedang dilaksanakan.
“Walaupun ada pihak yang menghina dan mengaibkan Perdana Menteri hampir setiap hari, beliau tetap tenang dan tidak berkecil hati,” katanya dalam taklimat media hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, pengumuman bantuan khas oleh Perdana Menteri semalam adalah untuk menangani beban kos sara hidup rakyat dalam masa terdekat.
Sementara itu, bantuan dan inisiatif lain untuk tahun depan akan diumumkan semasa Belanjawan 2026 yang dijadualkan dibentangkan pada Oktober ini.
“Bantuan khas itu diumumkan dengan mengambil kira keupayaan fiskal negara dan sebagai tambahan kepada yang telah direncanakan dalam Belanjawan 2025,” katanya.
Tunku Nashrul juga mengulangi permohonan maaf Perdana Menteri semalam berikutan kelewatan menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, beliau turut menegur Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta segelintir pimpinan pembangkang yang memperlekeh penurunan harga RON95 daripada RM2.05 ke RM1.99 dan bantuan RM100 secara ‘one-off’ kepada semua orang dewasa di Malaysia.
“Perlu diingat, ini adalah kali pertama semua rakyat tanpa mengira status sosial menerima bantuan daripada Kerajaan sempena bulan kemerdekaan,” tambahnya.
Tunku Nashrul turut menjelaskan perbezaan antara ‘bantuan’ dan ‘belanjawan’, satu konsep asas pentadbiran yang menurutnya mungkin sukar difahami oleh Menteri Besar Kedah itu.
“Semua inisiatif yang diumumkan semalam bukan sebahagian daripada Belanjawan 2026. Belanjawan 2026 hanya boleh dilaksanakan pada tahun 2026. Oleh itu, semua penghargaan yang diumumkan semalam akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan SARA untuk semua pada 31 Ogos 2025,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri juga menegaskan Perdana Menteri sentiasa bersikap terbuka sekiranya Menteri Besar Kedah memerlukan taklimat khas untuk memahami fakta asas pengurusan kewangan negara dengan lebih baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








