BERITA SEMASADALAM NEGERI

USIM lahirkan pelajar cemerlang peduli dunia

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus membuktikan komitmennya melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah peduli terhadap isu global.

Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Haikal Nazhan Hamdan, 22, berkongsi rasa bangga beliau terhadap alumni universiti itu, Muhammad Muaz Zainal Abidin yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Muaz Zainal GSF
Penyertaan alumni USIM, Muhammad Muaz dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza menjadi inspirasi buat pelajar universiti tersebut.

Menurut Haikal, penglibatan alumni dalam misi kemanusiaan seperti itu memberi inspirasi kepada pelajar semasa dan menekankan nilai kepedulian sosial sebagai sebahagian daripada pendidikan tinggi.

“Saya sebenarnya junior kepada saudara Muaz. Saya amat terkesan kerana mengenali beliau dan melihat keberanian serta penglibatannya dalam isu Palestin.

“Ia adalah sesuatu yang besar serta memberi impak positif kepada kesedaran masyarakat dunia. Sebagai rakan junior dan juga warga USIM, saya bangga dengan usaha beliau,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune sempena Sambutan Hari dan Bulan Akademia 2025 di Nilai kelmarin.

Haikal turut menekankan bahawa pendidikan bukan sekadar memperoleh ijazah tetapi menjadi alat untuk membina kesedaran dan membentuk karakter pelajar.

“Saranan saya kepada semua pelajar dan belia, ambillah tahu tentang isu-isu semasa.

“Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung yang tidak tahu apa-apa. Dengan mengetahui pelbagai isu, ia bukan sahaja membentuk karakter diri tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang keadaan dunia sekeliling,” tegas pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Fizik Gunaan) itu.

Dalam pada itu, tema Hari Sambutan Hari dan Bulan Akademia tahun ini yang menekankan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi turut menjadi fokus Haikal.

Teknologi AI perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan pelajar terutama dalam membantu menyiapkan tugasan, namun jangan disalah guna.

Beliau percaya teknologi moden boleh dimanfaatkan untuk memperkasa pelajar, memudahkan mereka memperoleh maklumat dan menyiapkan tugasan dengan lebih efisien.

“Contohnya, jika sebelum ini sumber pembelajaran agak terhad dan memerlukan usaha lebih, kini dengan adanya teknologi AI, ia memudahkan pelajar terutama dalam menyiapkan tugasan,” jelasnya.

Namun, Haikal turut menekankan penggunaan AI perlu bersifat sebagai alat bantu, bukan pengganti usaha individu.

Beliau mendedahkan pengalaman menyiapkan tesis sendiri sambil menggunakan AI sebagai sumber rujukan.

“Keseluruhan tesis tetap perlu dibangunkan dengan usaha sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada AI, agar hasilnya lebih asli dan berkualiti,” katanya.

Dalam konteks kerjaya pelajar masa kini, Haikal memberi amaran tentang trend menjadi influencer.

Ujar beliau, kerjaya tersebut bersifat sementara dan tidak menjamin masa depan yang stabil.

“Jika seorang pelajar lebih mengutamakan kerjaya sebagai influencer berbanding pelajaran, ia boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Pendidikan adalah senjata paling berkuasa di dunia. Dengan adanya pendidikan, kita boleh berubah daripada seseorang yang tidak memiliki apa-apa kepada seseorang yang mempunyai ilmu dan keupayaan untuk membina negara,” tegasnya.

Selain itu, Haikal memuji inisiatif Hari Akademia yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sejak 2019.

Sambutan Hari dan Bulan Akademia 2025 dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di USIM pada 3 Oktober lalu.

Sambutan tahunan itu dianggap penting kerana menghargai jasa pensyarah dan warga akademik yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara.

“Sebelum ini kita hanya meraikan Hari Guru, namun tiada hari khusus untuk pensyarah.

“Saya rasa langkah ini tepat bagi menghargai warga akademia yang turut menyumbang besar kepada pendidikan tinggi negara,” katanya.

USIM
USIM terus komited melahirkan warga yang berani mengambil peranan dalam misi kemanusiaan dan memberi impak positif kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Haikal turut menyeru pelajar agar sentiasa mengikuti perkembangan global.

Beliau menegaskan bahawa kesedaran tentang isu semasa bukan sahaja membentuk personaliti dan integriti pelajar, tetapi juga meningkatkan kemampuan mereka untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Dengan sokongan institusi akademik seperti USIM, jelas bahawa generasi pelajar kini bukan sahaja dilatih untuk mencapai kecemerlangan akademik, malah dibentuk untuk menjadi individu yang peduli terhadap masyarakat dan dunia.

Alumni seperti Muaz Zainal menjadi bukti bahawa pendidikan tinggi boleh menghasilkan warga yang berani mengambil peranan dalam misi kemanusiaan dan memberi impak positif kepada masyarakat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button