BERITA SEMASADALAM NEGERI

HIDe lakar pelan 5 tahun transformasi pendidikan, industri

KUALA LUMPUR – Program Pendidikan Digital Berimpak Tinggi (HIDe) hari ini melancarkan pelan strategik lima tahun dalam mentransformasi hubungan antara institusi akademik, industri dan kerajaan.

Pelan yang dirangka melalui platform utamanya, iaitu Konsortium Pendidikan Teknikal (CONTeCT), itu berperanan sebagai ‘serampang dua mata’ dalam mengangkat kualiti pendidikan teknikal dan memperkasakan aspek pembangunan tenaga kerja.

Pelancaran HIDe yang merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan rakan strategik, Kumpulan Pendidikan IReam Malaysia (IReam) itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Pada majlis itu, sebanyak 11 perjanjian persefahaman (MoU) ditandantangani secara bersama antara IKMa dan IReam dengan pelbagai institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan, pusat latihan dan pihak swasta dari China.

Mohd. Ali Mansor ( tiga dari kanan) bersama Ahmad Zaharan Ibrahim (dua dari kanan) bersama wakil rakan strategik dari China pada majlis pelancaran HIDe di Ibupejabat IKMa, Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd. Ali Mansor berkata, pelan strategik itu adalah platform tunggal untuk memupuk kerjasama antara pihak berkepentingan utama, khususnya dalam bidang pendidikan dan industri.

Katanya, melalui sinergi yang terjalin itu, Malaysia bakal memanfaatkan pelbagai kepakaran khususnya dalam bidang teknikal dari China.

“HIDe kini bekerjasama dengan China untuk memanfaatkan pelbagai bidang kepakaran dari 33 wilayahnya.

“Kerjasama ini termasuk perkongsian dengan hab teknologi terkenal seperti Bengkel BANMO di Wilayah Guangdong dan Bengkel MOZE di Wilayah Liaoning dan banyak lagi akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas pelancaran HIDE di Ibupejabat IKMa hari ini.

 

Mohd. Ali Mansor ( tengah) bersama Ahmad Zaharan Ibrahim (kanan) menandatangani MoU bersama rakan strategik dari China.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Pendidikan IReam Malaysia, Ahmad Zaharan Ibrahim berkata, CONTeCT bakal menyediakan kemahiran-kemahiran yang relevan bersandarkan teknologi semasa.

“Bukan itu sahaja katanya, industri di Malaysia juga akan menerima latihan tenaga kerja khusus, akses kepada bakat terlatih dan pandangan terhadap teknologi serta trend terkini,” ujar beliau.

Majlis pelancaran HIDe di Ibupejabat IKMa, Petaling Jaya, hari ini.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button