BERITA SEMASA

Steven Sim dimasyhur Canselor UKKM, gagas visi lahir kampus pacuan AI terbaik negara

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dengan membawa gagasan baharu berteraskan formula ‘ABCD’ bagi menjadikan universiti itu peneraju ‘sekolah perniagaan pacuan AI’ terbaik di Malaysia.

Beliau berkata, UKKM tidak boleh bergerak sebagai universiti konvensional semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai kampus pintar yang pantas menyesuaikan diri dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan keperluan industri semasa.

Steven Sim mahu UKKM menjadi kampus bagi revolusi AI dalam sektor koperasi. 

“Saya mahu UKKM bukan sahaja menjadi sekolah perniagaan terbaik di Malaysia, tetapi juga institusi perniagaan berteraskan AI terbaik negara.

“Revolusi AI dalam sektor koperasi dan keusahawanan mesti bermula di kampus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Ke-2 UKKM di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

@malaysiatribune

Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima tajaan pendidikan melebihi RM4.6 juta bagi memperluas akses pengajian dan memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dalam memacu transformasi sektor koperasi negara. #malaysiatribune #beritasemasa #koperasi

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Pada majlis sama, Steven Sim turut menyampaikan diploma dan ijazah kepada 26 graduan melibatkan lima program akademik iaitu Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Sarjana Pengurusan Perniagaan, Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Koperasi) dan (Kepimpinan Korporat).

ukkm
Steven bersama barisan kepimpinan dan akademia Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Menurut beliau, usia UKKM yang baru mencecah dua tahun sebenarnya merupakan satu kelebihan kerana universiti itu dibangunkan terus dalam era AI dan ekonomi digital.

“UKKM masih muda, tetapi usia muda ini sebenarnya kekuatan kita. Kita ditubuhkan dalam era revolusi AI. Justeru kita ada peluang untuk membina sebuah universiti yang benar-benar relevan dengan dunia baharu,” katanya.

Dalam ucapannya, Steven Sim turut memperkenalkan pendekatan ‘ABCD’ sebagai kerangka utama pembangunan UKKM.

Katanya, A merujuk kepada penglibatan lebih ramai profesor adjung daripada kalangan pemain industri, pengasas syarikat pemula, tokoh koperasi, pelabur dan pembuat dasar supaya mahasiswa dapat belajar terus daripada pengalaman dunia sebenar.

“Kalau mahu menjadi usahawan, mereka perlu belajar terus daripada pelabur, bank dan syarikat modal teroka tentang apa yang diperlukan untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Bagi B pula, beliau mahu UKKM dibangunkan sebagai kampus pintar dengan memberi penekanan kepada teknologi, AI dan digitalisasi berbanding kemewahan fizikal bangunan.

“Kalau terpaksa memilih antara kampus cantik dan kampus bijak, saya pilih bijak. Bangunan mungkin tidak mewah, tetapi teknologi, komputer dan peralatan digital mesti terbaik di Malaysia,” katanya.

Menyentuh komponen C, Steven Sim menegaskan sistem pengajian universiti perlu lebih cepat dan fleksibel supaya tidak ketinggalan dengan perubahan teknologi semasa.

Menurutnya, universiti tidak lagi boleh bergerak terlalu perlahan ketika teknologi AI berkembang setiap bulan.

“Hari ini orang bercakap tentang GPT-4 dan GPT-5, esok mungkin GPT-6 pula muncul.

“Kalau pelajar mengambil masa terlalu lama untuk tamat pengajian, teknologi yang dipelajari mungkin sudah lapuk sebelum mereka memasuki pasaran kerja,” katanya.

Beliau berkata, UKKM juga perlu memperluaskan penawaran kursus mikro dan program jangka pendek yang lebih anjal bagi memenuhi keperluan golongan profesional serta industri.

Bagi ‘D pula, beliau menekankan pembelajaran berasaskan dunia sebenar dengan mahasiswa perlu didedahkan secara langsung kepada pengalaman industri dan realiti pasaran semasa.

“Jangan ajar mahasiswa tentang dunia yang tidak lagi wujud. Bawa tokoh industri masuk ke universiti. Biar mahasiswa belajar terus daripada CEO, usahawan dan tokoh korporat,” katanya.

Dalam pada itu, Steven Sim berkata, UKKM perlu terus berpaksikan falsafah gerakan koperasi yang diperjuangkan Tokoh Koperasi Negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz iaitu memajukan ekonomi rakyat, menjaga kebajikan masyarakat dan memperkukuh perpaduan.

Beliau berkata, gerakan koperasi di Malaysia mempunyai potensi besar apabila mencatatkan perolehan RM81.62 bilion tahun lalu, manakala sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula disasarkan menyumbang lebih RM700 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Canselor UKKM, Datuk Seri Ewon Benedick atas sumbangan dan kepimpinan sepanjang tempoh awal pembangunan universiti itu.

UKKM merupakan institusi pengajian tinggi milik Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang mula beroperasi pada 2023 dengan menawarkan program pengajian daripada peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button