BERITA SEMASA

UKKM taja pelajar Palestin, lancar program PhD bidang keusahawanan

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) memberikan penajaan buat pelajar dari Palestin untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) di universiti tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pelajar-pelajar dari Palestin itu merupakan ambilan pertama pelajar antarabangsa di universiti tersebut.

“Ini susulan perbincangan saya dengan ketua delegasi kerajaan Palestin dalam persidangan menteri-menteri sedunia pada bulan April lalu.

“Di mana saya telah menyatakan kewujudan UKKM, aspirasi kita dan juga program-program pengajian yang ada di UKKM.

“Negara Palestin yang pertama mengadakan perbincangan dengan delegasi Malaysia pada masa itu dan tawaran telah diberikan kepada tiga orang pelajar dari Palestin,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemasyhuran Canselor dan Pro-Canselor UKKM yang diadakan di World Trade Center di sini.

Majlis Pemasyhuran Canselor dan Pro-Canselor UKKM yang diadakan di World Trade Center, Kuala Lumpur.

Tambahnya, ia adalah sebagai simbol kerjasama serta diplomasi pendidikan yang membantu hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin.

Dalam pada itu, UKKM juga melancarkan Program for Executive (P4E) yang akan bermula Julai ini.

“P4E adalah sesi kuliah yang diadakan selepas waktu bekerja khusus untuk golongan bekerja dalam sektor koperasi,” katanya.

Sementara itu pada majlis tersebut, beliau selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilantik untuk memegang jawatan sebagai Canselor pertama dalam sejarah UKKM yang berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dilantik sebagai Canselor pertama UKKM yang berkuat kuasa hari ini.

“Saya selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi diberikan tanggungjawab sebagai Canselor pertama UKKM dan juga Ketua Setiausaha, Datuk Seri Suriani Ahmad atas kapasiti tersebut juga dilantik sebagai Pro-Canselor UKKM.

“Begitu juga Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mantan Ketua Polis Negara atas kepimpinan besar beliau kepada negara, dilantik menjadi Pro-Canselor UKKM,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button