BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ewon Benedick bukan lagi anggota Kabinet Persekutuan – Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick yang meletak jawatan menteri secara rasmi tidak lagi menjadi anggota Kabinet.

Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan selepas Ewon yang sepatutnya masih dalam tempoh bercuti ketika ini sudah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri III Sabah.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ewon yang waktu beliau mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet Sabah, secara teknikalnya sudah tidak lagi menjadi Anggota Jemaah Menteri peringkat Persekutuan.

“Biarpun sebelum ini beliau diberikan cuti rehat untuk tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi tatkala beliau mengangkat sumpah (jawatan Timbalan Ketua Menteri III), maka terhenti sebagai anggota Jemaah Menteri Persekutuan,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini, yang disempurnakan Anwar.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, turut dilantik sebagai Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.

Beliau sebelum ini meletak jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan Persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan isu pemberian 40 peratus hak Sabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button