POLITIK

Ewon jawab Anthony Loke, tegaskan perjuangan hak 40 peratus Sabah

KOTA KINABALU – Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick hari ini menangkis kritikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mendakwa beliau bermain politik serta tidak menghadiri mesyuarat khas Kabinet berkaitan isu hak 40 peratus Sabah.

Ewon berkata, isu hak 40 peratus Sabah telah dibincangkan dalam Kabinet sejak 2022, termasuk selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025.

Beliau bertegas pelaksanaan hak itu mesti dilaksanakan segera.

“Sepanjang tiga tahun ini, jawapan yang diberikan kepada saya adalah sama.

“Tetapi apakah tindakan saudara Anthony dalam Kabinet untuk mempertahankan hak 40 peratus ini? Ini yang perlu dijelaskan,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial hari ini.

Beliau berkata, keputusan meletak jawatan dan membawa UPKO keluar daripada Pakatan Harapan adalah bagi menghantar mesej tegas kepada Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri mengenai kepentingan hak 40 peratus Sabah.

Menurutnya, mesyuarat khas Kabinet yang diadakan baru-baru ini memutuskan untuk menghormati hak 40% Sabah, namun sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu turut dirayu.

Ewon menyeru Kabinet Persekutuan memberi penjelasan terperinci kepada rakyat Sabah supaya mereka dapat membuat penilaian sendiri.

“Hero sebenar dalam isu ini adalah rakyat Sabah yang berani menuntut hak mereka.

“Saya hanya berjuang untuk memperjuangkan perjanjian Malaysia dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan perjuangan berterusan bagi memastikan pembayaran hak 40 peratus digunakan untuk pembangunan Sabah, membuka peluang ekonomi, meningkatkan keusahawanan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button