Peluncuran DFN 2030: Pacu ekosistem industri francais negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini melancarkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) sempena PERNAS International Franchise Festival (PIFF) 2025 bertujuan memperkukuh ekosistem francais negara dan memperluaskan akses pasaran antarabangsa.
DFN 2030 memperkenalkan lima teras utama iaitu menambah baik polisi dan tadbir urus, mempromosi francais sebagai model perniagaan pilihan, memantap kapasiti dan keupayaan usahawan francais, mengoptimum capaian bantuan kewangan kepada usahawan francais serta meningkatkan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, tema DFN 2030 Ekosistem Francais Yang Dinamik dan Mampan, berperanan sebagai platform melonjakkan keupayaan usahawan francais ke peringkat global.
“PIFF 2025 turut menyokong matlamat dasar ini dengan menyediakan peluang rangkaian dan inovasi perniagaan melalui penglibatan jenama tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Ewon juga menekankan elemen ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN 2025, dengan penglibatan negara anggota dalam pameran, forum dan padanan perniagaan.
Pada majlis pelancaran itu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara PERNAS dengan SME Corp, UMK, PRIDE dan TERAJU.
Skim Pembiayaan PERNAS turut disampaikan kepada usahawan francais.
PIFF 2025 yang bertemakan Brew Your Success, Empowering Entrepreneurs memberi tumpuan kepada industri kopi, teh dan kafe dengan menampilkan 150 pempamer termasuk 20 peratus penyertaan antarabangsa.
Acara selama tiga hari sehingga 9 Februari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung dengan aktiviti seperti pameran, forum keusahawanan, pertandingan Latte Art dan persembahan mini konsert.
KUSKOP melalui PERNAS yakin inisiatif ini akan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab francais utama di Asia menjana peluang pekerjaan dan memperkasakan usahawan francais tempatan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi PERNAS Datuk Hazimah Zainuddin dan Pemangku CEO PERNAS merangkap Ketua Pegawai Operasi PERNAS, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








