BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Pemerkasaan PMKS diteruskan melalui penggunaan AI, pensijilan halal – Zahid

KUALA LUMPUR – Pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut diberi tumpuan dalam aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan daya saing dan kecekapan usahawan tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa inisiatif telah dilaksanakan termasuk kerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti dan agensi berkaitan bagi memastikan penerapan teknologi tersebut selaras dengan keperluan industri semasa.

“Memang ada langkah-langkah yang telah diambil. Persembahan yang dibuat hari ini juga menjurus ke arah penggunaan AI termasuk dalam aspek pemantauan dan antirasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) di ibu negara hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan timbalannya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh pensijilan halal kerana masih ramai usahawan menghadapi kesukaran untuk memperolehnya.

“Kita mahu usaha mendapatkan pensijilan halal ini dipermudah, bukan menyusahkan. Saya akan bawa perkara ini ke Majlis Halal Negara agar wujud kerjasama erat antara agensi dan kementerian yang berbeza bagi membantu para usahawan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1.089 juta rakyat Malaysia terbabit dalam bidang keusahawanan, sama ada dalam sektor makro, kecil atau sederhana, dengan 71 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan mikro.

Katanya, jumlah itu perlu ditingkatkan dengan usaha menaik taraf perusahaan mikro kepada kategori kecil supaya nilai pengeluaran dan perkhidmatan yang dihasilkan dapat menyumbang lebih besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta eksport negara.

Beliau menambah, kira-kira 731,000 individu terlibat dalam guna tenaga di bawah sektor PMKS dan angka ini juga boleh ditingkatkan menerusi program latihan TVET serta keusahawanan yang lebih komprehensif.

“Kita mahu graduan TVET bukan sekadar memiliki kemahiran untuk bekerja dan menerima gaji, tetapi berani menceburi bidang perniagaan sendiri kerana sembilan daripada 10 sumber rezeki datangnya daripada perniagaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button