BERITA SEMASA

Baju Melayu warna biru kehijauan jadi trend Aidilfitri tahun ini

KUALA LUMPUR – Warna biru kehijauan atau ‘teal blue’ dijangka menjadi pilihan utama persalinan baju Melayu sempena Aidilfitri tahun ini, sekali gus menggantikan trend hijau zaitun dan jingga bata yang popular pada tahun sebelum ini.

Menjelang kira-kira dua minggu sebelum Syawal yang dijangka disambut pada 21 Mac ini, kebanyakan tukang jahit juga dilihat semakin sibuk menyiapkan tempahan pelanggan bagi memastikan pakaian siap mengikut tempoh yang dijanjikan.

Pemilik Butik Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat berkata, warna biru kehijauan menjadi pilihan majoriti pelanggan yang membuat tempahan sejak awal Disember lalu.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan yang datang ke butiknya membawa kain berwarna tersebut, manakala pelanggan yang memilih kain di butik juga kerap bertanyakan warna sama sehingga stok hampir kehabisan.

“Kebanyakan pelanggan yang datang membawa kain berwarna biru kehijauan, malah bagi yang memilih kain di butik pula, ramai yang bertanyakan warna yang sama hingga saya kehabisan stok.

“Momentum tempahan melonjak tiba-tiba pada awal Ramadan lalu kerana kebanyakan ibu bapa yang datang buat tempahan di saat akhir selepas memberi fokus kepada perbelanjaan anak-anak memasuki persekolahan.

“Saya hanya menerima tempahan sehingga pertengahan akhir bulan lalu untuk kenalan rapat sahaja,” katanya kepada Malaysia Tribune di sini ketika diminta mengulas mengenai ramalan warna baju Melayu sempena Aidilfitri 2026.

baju melayu
Zulkifli sibuk menyiapkan tempahan baju Melayu pelanggan menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut pada 21 Mac ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, beliau bersyukur kerana masih menerima lebih 3,000 tempahan baju Melayu seperti tahun lalu walaupun terpaksa bersengkang mata bagi menyiapkan semua tempahan mengikut jadual.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, rutin tidurnya bersama tujuh pekerja lain hanya selepas waktu Subuh setiap hari sepanjang Ramadan, terutama apabila semakin menghampiri Syawal.

“Sejak awal tahun ini, tiada istilah hari cuti buat saya dan pekerja kerana kami bekerja tujuh hari seminggu demi menyiapkan tempahan 3,000 baju Melayu.

“Kebiasaan pelanggan akan datang ke butik pada hujung minggu bersama keluarga masing-masing untuk membuat tempahan awal dan semua baju Melayu akan siap sepenuhnya pada minggu ketiga Ramadan nanti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button