Steven Sim tolak dakwaan bumiputera akan dipinggirkan
PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim menolak dakwaan pelantikannya menerajui kementerian berkenaan akan menyebabkan golongan bumiputera dipinggirkan.
Sebaliknya, Steven berkata, pemimpin yang baik adalah seseorang yang mampu menjaga semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum atau anutan agamanya.
“Saya percaya seorang pemimpin Malaysia yang baik ialah pemimpin yang mampu menjaga semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Itu adalah amalan, kepercayaan serta prinsip saya,” kata Steven Sim dalam sidang media selepas mendengar Taklimat Pengurusan Tertinggi KUSKOP pada hari pertama beliau menerajui Kementerian itu, di sini hari ini.
Hadir sama, timbalannya, Datuk Mohamed Alamin dan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Steven turut berkata, timbalannya yang datang dari UMNO juga sudah tentu akan memastikan semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi dijaga tanpa mengira kaum dan agama.
“Apabila kita menjayakan ataupun memajukan perniagaan yang mendapat keuntungan ialah rakyat Malaysia, yang untungnya ialah pekerja tidak kira kaum,” katanya lagi.
Beliau memberi contoh, pendekatan inklusif kepimpinannya telah dibuktikan ketika menerajui Kementerian Sumber Manusia sebelum ini, dengan membela warga pekerja secara menyeluruh tanpa diskriminasi.
Tambahnya, prinsip kepimpinannya sentiasa berteraskan keadilan dan pembelaan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Terdahulu, Tan Sri Noh Omar yang juga mantan menteri keusahawanan dalam satu kenyataan media berkata, rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan kejutan dan persoalan dalam kalangan usahawan Bumiputra berikutan pelantikan seorang Menteri dari parti DAP.
Katanya, penyerahan portfolio KUSKOP kepada seorang Menteri daripada DAP, sebuah parti yang memperjuangkan kesamarataan dan sering mempertikaikan prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB), menimbulkan persoalan untuk membela nasib usahawan Bumiputera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








