Alexander janji teruskan dasar sedia ada, rakam penghargaan kepada PM dan Jemaah Menteri
PUTRAJAYA – Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berjanji akan meneruskan dasar sedia ada selepas dilantik menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkuat kuasa esok.
Dalam satu kenyataan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri atas kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan.
“Di samping menjalankan tugas di portfolio sebagai Menteri Kerja Raya, pelantikan ini akan saya galas dengan penuh komitmen bagi memastikan kesinambungan operasi serta kelancaran fungsi KUSKOP.
“Saya komited untuk memastikan kerja-kerja kementerian berjalan dengan teratur dan dasar yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi manfaat usahawan, PKS, koperasi dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander turut menzahirkan penghargaan terhadap Datuk Ewon Benedick.
“Saya juga menghargai segala sumbangan beliau sepanjang menerajui KUSKOP.
“Harapan saya semoga dapat bekerjasama rapat dengan semua agensi, rakan industri dan pemegang taruh bagi memastikan kelancaran pentadbiran KUSKOP sepanjang tempoh saya menjalankan tugas ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Seri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Alexander selepas dimaklumkan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat lalu.
Pada 8 November lalu, Ewon meletak jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan di media sosial susulan tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan dan Jabatan Peguam Negara berhubung isu hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








