Pensyarah bantu pelajar Cina terima penghargaan KESUMA, Lim dijadikan anak angkat
GEORGETOWN – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menzahirkan penghargaan kepada Pensyarah Politeknik Balik Pulau, Mohd Zaidil Adha Mat Hussin selepas kisahnya membantu seorang penuntut baharu berbangsa Cina tular di media sosial.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam satu hantaran di Facebook berkata, penghargaan itu disampaikan dalam bentuk wang sebanyak RM1,000 serta sijil.
“Saya amat tersentuh dengan usaha murni Zaidil yang telah berkhidmat menjangkau tugas hakikinya. Saya bersyukur kerana ada orang yang baik seperti Encik Zaidil yang sanggup membantu adik Lim ketika dalam kesusahan,” katanya dalam hantaran itu semalam.
Dalam hantaran yang sama, Sim turut memuat naik foto pertemuan khas bersama Mohd Zaidil Adha dan pelajar berkenaan, Lim Zi Yang di sebuah restoran di sini.
Lebih menggembirakan, Sim turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM3,000 serta elaun bulanan RM200 kepada Zi Yang yang turut dijadikan sebagai anak angkatnya sehingga dia menamatkan pengajian.
“Saya akan beri elaun RM200 kepada anak angkat saya sehingga dia tamat pengajian di politeknik.
“Bila ayahnya dengar Menteri Sumber Manusia nak ambil anak dia jadi anak angkat, dia sangat terkejut dan merestui permintaan saya itu. Terima kasih saya ucapkan.
“Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk pastikan Lim boleh tamat pengajian dengan lancar,” ujar Sim.
Menerusi kisah yang menyentuh hati rakyat Malaysia, Zi Yang yang berasal dari Batu Pahat, Johor datang seorang diri ke Pulau Pinang menaiki bas kerana bapanya hanya mampu membeli satu tiket disebabkan kekangan kewangan.
Setibanya dia di Pulau Pinang, Mohd Zaidil Adha merupakan insan banyak membantu memberikan panduan untuk sampai ke politeknik.
Malang tidak berbau, mungkin disebabkan terlalu gementar, Zi Yang tersalah mengambil beg di terminal bas dan hanya menyedari perkara itu ketika tiba di asrama.
Mohd Zaidil Adha bersama Zi Yang kemudian berpatah balik ke Terminal Bas Penang Sentral di Butterworth untuk mengambil beg terbabit.
“Ketika dalam perjalanan pulang, Zaidil terdengar bunyi perut Zi Yang rancak berkeroncong.
“Maka, terjadilah satu perkara indah yang saya cukup bangga menggelar diri saya sebagai anak Malaysia. Encik Zaidil mengajak Zi Yang makan sampai kenyang dan belikan sedikit barang keperluan di Lotus sebelum mereka pulang ke Balik Pulau,” ujar Sim lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








