LUAR NEGARA

NHS luluskan ubat pertama mampu tangguh diabetes jenis 1 hingga tiga tahun

LONDON – Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di England dan Wales mula menawarkan teplizumab iaitu ubat pertama yang terbukti mampu melambatkan permulaan diabetes jenis 1 sehingga tiga tahun sebelum pesakit memerlukan rawatan insulin sepanjang hayat.

Menurut laporan BBC News, ubat berasaskan imunoterapi itu bertindak memperlahankan serangan sistem imun terhadap sel penghasil insulin di pankreas sekali gus memberi lebih banyak masa kepada pesakit sebelum gejala penyakit muncul.

Institut Kecemerlangan Kesihatan dan Penjagaan Kebangsaan (NICE) menyifatkan kelulusan penggunaan teplizumab sebagai satu perkembangan penting dalam rawatan diabetes jenis 1, dengan dianggarkan kira-kira 1,100 kanak-kanak dan orang dewasa layak menerima rawatan itu pada tahun pertama.

Pengarah Penilaian Ubat NICE, Helen Knight berkata, kelulusan itu membuka lembaran baharu dalam rawatan penyakit berkenaan.

“Ini adalah satu cadangan yang benar-benar mengujakan. Buat pertama kali, kita mempunyai rawatan yang mampu memberi pesakit lebih banyak masa yang amat berharga sebelum mereka perlu berdepan tuntutan penuh menguruskan diabetes jenis 1,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif badan kebajikan Breakthrough T1D, Karen Addington berkata, rawatan berkenaan memberi harapan baharu kepada keluarga yang mempunyai anak berisiko menghidap penyakit itu.

“Kini kita mempunyai rawatan yang boleh membantu memberi kanak-kanak lebih banyak tahun untuk menikmati kehidupan normal tanpa beban harian menguruskan penyakit ini,” katanya.

Diabetes jenis 1 lazimnya didiagnosis ketika zaman kanak-kanak atau remaja dan memerlukan pemantauan paras gula darah serta suntikan insulin sepanjang hayat.

Teplizumab diberikan melalui infusi ke dalam salur darah selama 14 hari berturut-turut sebelum gejala penyakit muncul.

Pesakit perlu dikenal pasti lebih awal menerusi ujian darah yang mengesan serangan sistem imun terhadap pankreas.

Kos rasmi rawatan itu dianggarkan sekitar £150,000 (RM860,000) bagi satu kursus rawatan, namun NHS berjaya memperoleh harga lebih rendah menerusi rundingan dengan syarikat farmaseutikal Sanofi.

Pakar percaya kejayaan teplizumab menjadi titik permulaan kepada pembangunan lebih banyak terapi imun yang berpotensi mengurangkan kebergantungan pesakit diabetes jenis 1 terhadap insulin pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button