Turun berat jadi ‘syarat’ kenaikan pangkat warga SPRM
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju mengambil kira penurunan berat badan lima peratus sebagai pertimbangan kenaikan pangkat pegawai dan anggotanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan itu dibuat susulan cadangan Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS), Prof Dr Rohana Abdul Ghani dan pakar kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof supaya diambil kira usaha dan inisiatif menurunkan berat badan oleh pegawai yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) tinggi.
Sehubungan itu katanya, pihaknya sedia menjalin kolaborasi dengan menggunakan kepakaran termasuk fasiliti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM serta MYOS bagi melaksanakan program kesedaran berkaitan pengurusan berat badan dan kawalan metabolik.
“SPRM komited untuk melaksanakan program itu bagi memperkukuh disiplin kendiri warga kerja SPRM, selain membanteras masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam.
“Sebagai agensi utama dalam penguatkuasaan dan integriti negara, SPRM menitikberatkan tahap kesihatan fizikal serta mental warga kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau sebelum itu menerima kunjungan hormat dari Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan dan HEPA) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Dr Barakatun Nisak dan Dr Rohana di pejabatnya di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan SPRM akan melaksanakan kelayakan kenaikan pangkat yang mewajibkan pegawai dan anggotanya mengekalkan BMI tidak melebihi 27, bermula Januari 2026.
Azam dilaporkan berkata, pegawai dan anggota yang obes atau gagal memenuhi BMI yang ditetapkan, tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.
Katanya, langkah itu bagi menekankan kepentingan kesihatan dalam kalangan warga SPRM selain memastikan keterampilan dan kecergasan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








