BERITA SEMASAPOLITIK

Persenda titah sultan bukan kebebasan bersuara, tetapi biadab

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengecam kenyataan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai penghayatan Rukun Negara, dengan menyifatkannya sebagai biadab terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut Asyraf, tindakan mempertikaikan atau memperlekehkan titah Sultan bukanlah satu bentuk kebebasan bersuara, sebaliknya menunjukkan kegagalan memahami adab serta batas dalam menghormati institusi diraja.

Beliau menegaskan UMNO akan terus berdiri teguh bersama Sultan Selangor dalam mempertahankan kedaulatan dan martabat institusi Raja-Raja Melayu.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.

“Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. UMNO bersama Tuanku!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta bekas Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu membaca dan menghayati Rukun Negara.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas titah itu dikeluarkan, Tony Pua tampil mengulas mengenai konsep Raja Berperlembagaan dan mengingatkan bahawa kuasa Raja-Raja tertakluk kepada peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Menurut beliau, setiap rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan, sambil menjelaskan bahawa peranan Raja secara amnya terhad kepada bidang tertentu termasuk adat Melayu, agama Islam serta fungsi perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terdahulu, beberapa pihak mendakwa kenyataan pemimpin DAP itu dilihat sebagai reaksi terhadap teguran Sultan Selangor, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai penghormatan terhadap institusi diraja dalam sistem Raja Berperlembagaan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button