Pengerusi MARA jamin bantu pelajar dari keluarga B40 masuk UTHM
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengulangi jaminan bahawa faktor kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang mana-mana pelajar untuk menyambung pengajian ke universiti.
Menerusi hantaran video di Facebook, Asyraf Wajdi berkongsi kisah membantu seorang pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
“Saya dimaklumkan Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Bersia 2, Puan Roselyna perihal anak mukimnya yang susah dan berkira-kira untuk menangguhkan pengajian dek kerana kekangan kewangan.
“Syukurlah dapat juga saya bertemu dengan seorang penduduk Felda Bersia dan sempat memujuknya agar tidak sesekali menangguhkan pengajian anaknya,” kata Asyraf Wajdi.
Tambahnya, ayah pelajar tersebut hanya bekerja sebagai pemandu lori dan mereka tidak mampu membayar yuran pendaftaran awal berjumlah RM4,500.
Menurut Asyraf Wajdi lagi, Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mas Fawzi Mohd Ali telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan membantu pelajar tersebut.
“InsyaAllah, buat pelajar-pelajar daripada keluarga yang susah, jangan sesekali menjadikan alasan faktor kewangan untuk tidak menyambung pengajian.
“Pelbagai bantuan ada tersedia termasuk di MARA. Yang penting, carilah ilmu kerana hanya ilmu yang boleh mengubah kehidupan kita dan keluarga,” katanya lagi.
Malah, Asyraf Wajdi memberitahu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga sudah memberi jaminan bahawa pelajar daripada keluarga miskin boleh menangguhkan bayaran yuran pendaftaran, selain terdapat pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh kementerian.
Terdahulu, Pengerusi MARA itu meluangkan masa melawat kawasan Felda Bersia di Gerik, Perak bagi membolehkannya mendengar secara langsung pelbagai isu masyarakat termasuk pendidikan, di samping memenuhi undangan penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








