BERITA SEMASAPOLITIK

Lebih 21,000 bekas pemimpin, ahli lama dan baharu daftar UMNO melalui Rumah Bangsa

KUALA LUMPUR – Inisiatif Rumah Bangsa mencatatkan sebanyak 21,858 pendaftaran melibatkan ahli baharu serta kemasukan semula bekas pimpinan dan ahli UMNO dari seluruh negara dalam tempoh kurang dua bulan sejak dibuka secara rasmi pada 20 April lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, angka tersebut direkodkan sehingga Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 10 Jun 2026.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan ahli politik agar mengamalkan kesederhanaan serta menjunjung akhlak Islam dalam berpolitik,
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau, jumlah itu merangkumi penyertaan beberapa pimpinan daripada BERSATU yang kembali bersama UMNO.

“Moga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorak serta memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

UMNO tahun ini turut menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-80 dengan membawa semangat kebangkitan semula parti menerusi tema Bangkit Kembali dan slogan UMNO Dulu, Kini dan Selamanya.

Terdahulu, media melaporkan penyertaan semula tiga tokoh politik ke Rumah Bangsa iaitu bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Syed Hamid Albar.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kepulangan tokoh-tokoh berkenaan memberi isyarat bahawa Rumah Bangsa mempunyai hala tuju serta objektif yang jelas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button