BERITA SEMASA

Drama Korea cetus perbincangan, Dr Asyraf Wajdi pertahan langkah lantik bekas tentera sebagai warden MRSM

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempertahankan pendekatan menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sambil menyifatkan langkah itu terbukti berkesan dalam menangani masalah buli dan disiplin pelajar.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, drama Netflix dari Korea Selatan bertajuk Teach You A Lesson yang ditontonnya baru-baru ini mempunyai persamaan dengan pendekatan dilaksanakan di MRSM, khususnya dalam usaha membanteras budaya buli di institusi pendidikan.

mara
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, watak utama drama berkenaan, Na Hwa-jin, seorang bekas komando yang mengetuai Biro Perlindungan Hak Pendidikan (BPHP), memainkan peranan hampir sama dengan bekas anggota tentera yang kini berkhidmat sebagai warden sepenuh masa di MRSM bagi menangani isu buli di sekolah.

“Pengajaran utama daripada drama ini jelas bahawa isu buli adalah isu yang amat serius.

“Ketegasan dalam menanganinya penting agar tiada kecenderungan untuk menutup kes-kes buli kerana takut imej institusi terjejas atau wujud pilih kasih terhadap pelaku yang mempunyai pengaruh atau hubungan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif menempatkan bekas tentera di MRSM telah menunjukkan hasil yang positif berdasarkan kajian empirikal yang dijalankan penyelidik bebas dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut beliau, kajian itu mendapati berlaku penurunan ketara kes disiplin dan buli di beberapa MRSM yang sebelum ini mempunyai rekod masalah berkenaan.

“Malah disiplin pelajar ternyata lebih baik selain mengurangkan beban guru-guru yang sebelum ini menggalas tanggungjawab tambahan sebagai warden asrama,” tegasnya.

Beliau turut mengajak orang ramai yang telah menonton drama berkenaan untuk berkongsi pandangan mengenai pendekatan terbaik dalam menangani isu buli di sekolah.

“Siapa dah tonton drama Teach You A Leason, boleh bagi pandangan dalam isu menangani buli ini?” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button