BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sultan Selangor arah penternakan babi di Tanjong Sepat dihentikan, pindah ke Bukit Tagar

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya semua operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan secara berperingkat dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar mengikut perancangan tersusun serta mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Titah tersebut dibuat selepas Baginda meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di Negeri Selangor, dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan media memaklumkan, keputusan itu dicapai susulan sesi menghadap bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan.

Menurut kenyataan tersebut, pemindahan operasi penternakan ke Bukit Tagar hendaklah dilaksanakan secara terancang dan terkawal, selaras dengan semua keperluan undang-undang serta peraturan berkaitan.

Kenyataan media oleh Istana Alam Shah bertarikh 12 Januari 2026.

“Operasi penternakan babi sedia ada di Tanjong Sepat hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan tersusun serta mematuhi semua keperluan undang-undang dan peraturan berkaitan.

“Kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data sah dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan sebenar daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja,” titah Baginda.

Selain itu, Sultan Selangor turut menitahkan supaya satu kajian terperinci dan bancian menyeluruh berasaskan data sah dijalankan bagi mengenal pasti keperluan sebenar serta permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di negeri ini.

Baginda turut menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan atau tujuan untuk mengeksport hasil penternakan babi dari Selangor.

“Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan di Bukit Tagar agar ia kekal pada tahap munasabah dan terkawal,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button