BERITA SEMASA

Usah terpengaruh ahli politik tiup api perkauman – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir ahli politik yang gemar meniup sentimen perpecahan sehingga berpotensi menggugat keharmonian negara.

Baginda bertitah, perpaduan yang dibina sekian lama hasil kebijaksanaan dan toleransi generasi terdahulu tidak wajar digadai hanya kerana kepentingan politik yang sempit.

“Negara ini milik kita bersama. Keharmonian yang kita nikmati hari ini lahir daripada sikap saling memahami dan menghormati antara kaum.

“Beta berharap rakyat jelata terus memelihara nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai asas kehidupan bermasyarakat,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office malam ini.

Titah baginda, setiap rakyat perlu menjadikan perayaan sebagai medan memperkukuh muhibah dan bukan ruang mencetuskan perbalahan.

“Hormatilah perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana kita mahu perayaan kita dihormati,” titah baginda lagi.

Sultan Selangor turut menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya merupakan asas kekuatan negara yang menjadikan Malaysia unik serta dihormati di persada dunia.

“Biarlah amalan rumah terbuka, ucapan tahniah dan budaya berkongsi rezeki menjadi bukti keikhlasan kita dalam memelihara keharmonian bersama,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua di Selangor dan Malaysia.

“Semoga Tahun Baharu Cina ini membawa sinar harapan baharu, memperkukuh perpaduan serta menyemarakkan lagi rasa kasih sayang antara kita semua,” titah baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button