Sultan Selangor tegur ADUN Seri Kembangan, saran hayati Rukun Negara di Dataran Selangor
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara.
Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak lebih memahami kepentingan menghormati kedaulatan institusi Raja selain menjaga adab dan kesusilaan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan dari DAP dan Ronnie Liu, beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara.
“Agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Menurut baginda, pembinaan plak monumen berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Selangor (JKR) bersama kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, manakala kos pembinaannya ditanggung sepenuhnya oleh baginda sendiri.
Sultan Sharafuddin turut mengimbas sejarah pembentukan Rukun Negara yang lahir susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Titah baginda, konsep itu diwujudkan hasil rundingan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sebagai ideologi kebangsaan bagi mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Dengan terbinanya Plak Monumen ini, Beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menyeru rakyat khususnya generasi muda supaya membaca dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas utama perpaduan serta keharmonian negara.
Baginda juga mahu semua wakil rakyat di Selangor hadir ke lokasi berkenaan sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membaca serta memahami makna Rukun Negara yang dipaparkan pada plak monumen tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








