BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sultan Selangor bertemu bekas banduan terima pengampunan penuh, kini miliki PhD

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima mengadap bekas banduan yang pernah menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Baginda kira-kira dua tahun lalu.

Melalui perkongsian yang menyentuh hati di Facebook Selangor Royal Office itu, baginda dirakam berpelukan sebaik bertemu dengan Dr Malik Yatam, bekas banduan yang kini memegang segulung PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

“Masih ingatkah anda dengan bekas banduan/prospek pertama Malaysia yang memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) semasa dalam penjara dan diberi pengampunan penuh oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan Baginda pada tahun 2024.

“Beliau adalah Dr Malik Bin Yatam. Hari ini beliau menerima perkenan untuk menghadap DYMM Sultan Selangor. Pertemuan berlangsung hampir sejam dalam suasana yang hening, sedih dan pilu,” menurut kenyataan itu.

Dr. Malik yang dibebaskan pada 11 Disember 2024 pada usia 39 tahun sebelum itu menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun.

Dr Malik Yatam

Beliau menjalani hukuman sejak tahun 2001 ketika berusia 14 tahun atas kesalahan yang dilakukan ketika masih di bawah umur, sekali gus tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sepanjang tempoh pemenjaraan di Penjara Kajang, beliau berjaya melanjutkan pengajian sehingga memperoleh Ph.D.

Dalam pertemuan berkenaan, Sultan Sharafuddin berkenan bertanyakan khabar mengenai perkembangan kehidupan Dr Malik selepas pembebasan serta perancangan masa depannya.

Baginda turut menzahirkan rasa terharu terhadap perjalanan hidup Dr. Malik dan berpandangan bahawa beliau wajar diberikan peluang kedua.

Menurut baginda, keputusan pengampunan tersebut dibuat setelah meneliti semua faktor yang telah dipersembahkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 24 November 2024.

Pada pertemuan itu, baginda turut menasihatkan Dr Malik agar sentiasa menjaga nama baik keluarga serta terus berusaha memperbaiki taraf hidup selepas diberi kebebasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button