Polis rakam percakapan ibu, ibu saudara kanak-kanak lemas di kolam air panas
ALOR GAJAH – Polis merakam percakapan ibu dan ibu saudara kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang maut dipercayai lemas di sebuah kolam air panas di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, rakaman percakapan dua wanita berusia 27 dan 22 tahun itu diambil hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua wanita yang juga adik-beradik itu berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku dan siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada wujud sebarang unsur jenayah.
“Siasatan merangkumi kemungkinan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi,” memetik BH online.
Beliau berkata, kedua-dua individu terbabit dilepaskan dengan jaminan polis bagi memberi ruang kepada keluarga menguruskan pengebumian mangsa di Felda Keratong Sembilan, Pahang, petang ini.
Terdahulu, media melaporkan percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dipercayai lemas di sebuah kolam air panas di daerah ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa yang datang dari Pahang bersama keluarganya ditemukan dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








