BISNES & EKONOMI

Krisflyer, arrivia lancar perkhidmatan tempahan pelayaran

SINGAPURA – KrisFlyer, program ganjaran gaya hidup milik Singapore Airlines Group dan arrivia, mengumumkan pelancaran perkhidmatan tempahan pelayaran menggunakan mata ganjaran KrisFlyer Miles.

Dengan platform pelayaran khusus arrivia, KrisFlyer Cruise, kerjasama sedemikian meningkatkan dan memperluaskan cara kemudahan bagi ahli membuat penebusan percutian pelayaran bernilai tinggi menggunakan KrisFlyer miles

Ketua Pegawai Operasi (COO) arrivia, John Williams berkata, kerjasama ini membolehkan ahli menebus pelayaran antarabangsa yang ditawarkan oleh lebih 40 syarikat pelayaran terkemuka dunia.

“Kerjasama ini bertujuan untuk memberikan ahli KrisFlyer menggunakan miles (mata ganjaran) mereka dengan lebih bermakna. Pelayaran merupakan antara kategori perjalanan yang paling pesat berkembang dan menawarkan nilai yang tinggi.

“Dengan menawarkan pelayaran sebagai pilihan penebusan kepada ahli KrisFlyer, kami membolehkan mereka menikmati pengalaman yang lebih memuaskan sambil meningkatkan penglibatan dalam program ini.

“Dengan ribuan pelayaran di seluruh dunia dan sokongan pakar pelayaran yang berdedikasi, kami menjadikan pengalaman pelayaran lebih mudah diakses berbanding sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tawaran tersebut merangkumi lebih daripada 30,000 itinerari pelayaran yang dikendalikan oleh syarikat pelayaran terkenal termasuk Royal Caribbean International, Disney Cruise Line, Princess Cruises dan banyak lagi.

Laluan pelayaran tersebut meliputi destinasi di seluruh dunia termasuk rantau pertumbuhan utama seperti Asia Tenggara dan Australia, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap pelancongan pelayaran.

Dengan peningkatan sedemikian, ahli boleh menebus KrisFlyer miles sepenuhnya untuk pelayaran atau menggabungkan miles dengan wang tunai bagi menikmati fleksibiliti yang lebih besar serta akses kepada pengalaman perjalanan bernilai tinggi.

Ahli KrisFlyer juga berpeluang memperoleh 2 KrisFlyer miles bagi setiap US$1 yang dibelanjakan untuk tambang pelayaran.

Pewujudan ekosistem tersebut turut membolehkan ahli memperoleh dan menebus miles dalam kategori yang sama seterusnya meningkatkan penglibatan mereka dengan program berkenaan.

Pelanggan boleh menempah pelayaran secara dalam talian di portal https://krisflyercruise.com dan log masuk menggunakan maklumat keahlian KrisFlyer atau menghubungi pakar pelayaran untuk bantuan yang diperibadikan.

Dengan permintaan terhadap pelancongan pelayaran yang semakin meningkat dan kadar pengulangan perjalanan yang kekal tinggi, ahli KrisFlyer kini boleh menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, melangkaui perjalanan udara kepada pengalaman percutian menyeluruh di laut.

Pada tahun 2025, industri pelayaran merekodkan 37.2 juta penumpang di seluruh dunia, satu rekod baharu yang mewakili peningkatan 7.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button