BERITA SEMASA

LIMA’25: Perolehan kapal MPMS perkukuh kesiapsiagaan Maritim Malaysia

LANGKAWI – Perolehan kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan itu akan dapat membantu melicinkan operasi dan mempercepatkan respons terhadap sebarang ancaman atau kecemasan di laut.

Perjanjian memperoleh aset berkenaan merupakan salah satu daripada perjanjian strategik bernilai hampir RM1.19 bilion yang ditandatangani Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) yang berlangsung bermula hari ini.

“Perjanjian yang ditandatangani ini melibatkan pembelian kapal MPMS daripada Desan Shipyard bernilai RM 300,000,000, penyelenggaraan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) di Semenanjung Malaysia oleh AMP Corporation (M) Sdn Bhd bernilai RM59,454,000 juta, dan perolehan empat helikopter medium lift melalui Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM529,662,600.

maritim malaysia
KDN turut menandatangani perjanjian bagi memperoleh empat helikopter medium lift melalui Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM529,662,600. – GAMBAR IHSAN MARITIM MALAYSIA

“Turut dimeterai ialah Surat Hasrat (LOI) bagi penyiapan dua buah Offshore Patrol Vessel (OPV 2 dan OPV 3) oleh Shin Yang Shipyard Sdn Bhd, dengan nilai projek mencecah RM298,500,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini menyaksikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman menandatangani kontrak perolehan bersama wakil syarikat terlibat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta barisan kepimpinan tertinggi KDN.

Mohd Rosli menegaskan, Maritim Malaysia sentiasa komited untuk meningkatkan keupayaan aset dan sistem pemantauan demi menjamin keselamatan perairan negara.

“Kapal dan helikopter baharu yang bakal diperoleh itu akan meningkatkan keupayaan rondaan jarak jauh, operasi penguatkuasaan serta misi mencari dan menyelamat di kawasan perairan Zon Maritim Malaysia,” katanya lagi.

Selain Maritim Malaysia, majlis sama turut menyaksikan sesi menandatangani kontrak dan perolehan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah lebih RM281 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button